Rabu, 14 Mac 2012

BAHASA MELAYU TAHUN 6


Orang Tua Di dalam Bakul

     Pada zaman dahulu tinggal sekeluarga petani di sebuah kampung. Petani mempunyai bapa yang telah tua dan seorang anak.Setiap hari isteri petani menenun kain untuk menambah pendapatan keluarga. Mereka hidup susah tetapi bahagia.
     Beberapa tahun berlalu, bapa petani semakin tua dan lemah. Semasa muda dia bekerja dengan gigih untuk menyara keluarganya. Sekarang dia tidak dapat melakukan apa-apa pekerjaan lagi.
     Petani menganggap bapanya sebagai satu beban. Isterinya begitu juga. Oleh itu mereka tidak memperdulikan orang tua itu lagi seperti dahulu.
     Orang tua itu diberi sisa makanan dan pakaian yang koyak sahaja. Pakaiannya busuk dan tidak dicuci. Kadangkala tanpa pengetahuan ibu bapanya, anak petani memberi makanan yang baik dan lazat kepada datuknya. Apabila perbuatannya diketahui, ibu dan bapanya memarahinya.
    Begitulah nasib malang orang tua itu. Setiap hari didera oleh anaknya sendiri.Tinggal di rumah sendiri tetapi seperti tinggal di neraka jahanam. Air yang diminumnya terasa pedih, nasi yang dimakannya terasa bagai sekam. Siang dan malam tidak keruan.
     Orang tua itu semakin hari semakin susah hati. Dia sentiasa mengeluh mengenangkan nasibnya yang malang. Petani dan isterinya semakin tidak sabar.  Hati mereka telah dirasuk syaitan. Tingkahlaku mereka telah diluar batasan. Mereka cuba mengusir orang tua itu dari rumahnya. Mereka tidak sanggup lagi menjaganya.
     Petani mendapat satu akal. Dia bercadang untuk membeli sebuah bakul yang besar. Dia akan memasukkan bapanya ke dalam bakul  tersebut. Dia akan menghantar bapanya kesatu tempat yang jauh dan membiarkannya tinggal di situ.
     Tetapi isterinya berasa bimbang takut diketahui oleh jiran-jirannya. Petani dan isterinya telah sepakat untuk memberitahu jiran-jirannya yang mereka mahu menghantar  bapa mereka kesatu tempat yang suci dan indah untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya.
     Petani dan isterinya tidak sedar percakapan mereka didengar oleh anak mereka.
      Pada keesokan paginya, petani keluar untuk membeli bakul tersebut. Setelah melihat bapanya keluar, anak petani bertanya kepada ibunya, “Mengapakah mahu menghalau datuk?”
     “Oh, tidak!” jawab ibunya yang ingin menyembunyikan hal yang sebenar. “Kami hanya membawa datuk ketempat yang lebih baik kerana kita tidak ada masa untuk menjaganya.
     “Ke manakah datuk hendak dibawa?” tanya anaknya lagi.
“Jangan bertanya-tanya, kamu masih budak-budak,” kata ibunya. “Lagipun tempat tersebut selamat.”
     Pada petang itu, petani pulang dengan membawa sebuah bakul yang besar. Sebaik sahaja menjelang senja, petani pun memasukkan bapanya kedalam bakul tersebut.
     Orang tua itu berasa sangat bimbang, sambil bertanyakan kepada anaknya “Kemanakah kamu mahu membawa aku?”
Petani itu cuba memujuk dengan mengatakan bahawa dia ingin membawa ayahnya kesatu tempat yang selamat dan di sana nanti ayahnya akan dijaga dengan baik dan dihidangkan dengan makanan yang lazat-lazat.
     Anak petani melihat kejadian yang berlaku tetapi dia masih tidak memahami apa-apa.Petani pun berjalan pergi dengan langkah yang berat sambil memikul bakul besar yang berisi bapanya.
    Sebelum bayang-bayang petani hilang daripada penglihatan, anak petani menjerit dengan kuatnya, “Ayah……. Jangan lupa bawa balik bakul itu semula!”
    Petani kehairanan. Dia berhenti kehairanan sambil bertanya mengapa dengan bakul ini ?
Anak petani berlari mendapatkan ayahnya. “Ayah," kata anak petani dengan termengah-mengah, “apabila ayah tua kelak, saya akan gunakan bakul itu untuk memikul ayah pula.”
    Petani itu sungguh terkejut, kakinya menggigil dan tidak dapat bergerak. Dia terdiam sebentar. Kata-kata anaknya menusuk kejantungnya ,tanpa disedari air matanya jatuh berlinangan.
     Selepas beberapa ketika, dia pun berkata kepada anaknya,”Marilah kita  pulang.”
    Petani membawa bapanya pulang semula ke rumahnya. Anaknya mengikutinya dari belakang. Semenjak hari itu petani dan isterinya melayan bapanya dengan penuh kasih sayang. Mereka telah insaf dan sedar akan sikap mereka yang tiada belas kasihan selama ini.
     Ingatlah wahai kawan-kawan sekalian, hormatilah ibu dan bapa kita. Ibu bapa menjadi contoh yang baik atau buruk kepada anak-anak.Jangan menjadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul. Kasihilah kedua ibu bapamu seperti mana mereka mengasihi mu semasa kecil.  Bak kata pepatah "mengambil contoh kepada yang sudah, mengambil tuah kepada yang menang."
 Sekian terima kasih.